Rabu, 6 Oktober 2010

SHaRiNG iS CaRiNG.....

JODOH


“Jodoh di tangan Tuhan dan manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang ditentukan Tuhan” Pendapat ini lebih sempurna. Memang itulah aturan mencari dan memilih jodoh. Selain daripada pendapat di atas, masih ada cara lain yang digunakan di beberapa tempat seperti :

1. Jodoh dicari dan dipilih oleh orang tua tetapi perkahwinanberlangsung atas persetujuan anak.

2. Anak lelaki mencari dan memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan berkahwin bergantung kepada orang tua.

3. Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan perkahwinan bergantung kepada kedua belah pihak orang tua.

4. Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri serta menentukan sendiri perkahwinannya.Mengikut ajaran Islam, persetujuan antara kedua belah pihak merupakan perkara asas, iaitu atas persetujuan dari calon suami dan isteri. Ini disebabkan perkahwinan di dalam Islam bertujuan untuk keselamatan dan kesejahteraan pasangan tersebut.

Kedua orang tua harus turut serta memikirkan atau memerhatikan jodoh bagi anaknya. Jadi masalah memilih jodoh dalam Islam boleh dilakukan oleh anak ataupun kedua orang tua.

Namun begitu, kedua orang tua tidak boleh sesuka hati mencarikan calon untuk anaknya. Ianya mestilah berlandaskan ajaran Islam.

Bagi menentukan jodoh untuk kaum wanita, setidak-tidaknya perlu diperhatikan beberapa ciri berikut:

i. Pemimpin keluarga yang baik dan bertanggungjawab untuk membina rumahtangga.

ii.Mencari nafkah yang jujur dan berhasil

iii. Pasangan ideal dalam erti;- bersikap baik terhadap isteri- dapat memberikan kebebasan berfikir dan memberi pendapat- menerima kekurangan dan kelemahan isteri- dapat membantu tugas isteri dalam keadaan dan kegiatan tertentu- dapat menjaga kewibawaan isteri- dapat membimbing isteri ke jalan yang baik- dapat menghormati dan menyayangi sanak keluarga isteri

iv. Bapa yang baik dan sayang kepada anak-anak

v. Pasangan yang baik zahir dan batin

Memang rumit membahas perkara berkaitan ketentuan dan usaha yang perlu manusia lakukan dalam membentuk sebuah ketentuan. Dalam kata lain, Ketetapan atau ketentuan Allah SWT telah termaktub sejak azali lagi. Manusia pula yang meyakini hal ini kadang-kadang lupa sehingga terlalu hanyut dalam kemampuan dan usaha sendiri sehingga dengan sengaja atau pun tidak, sedar atau pun tidak, mereka melanggar batasan-batasan Allah.

Jika kita yakin bahawa jodoh di tangan Allah, mengapa perlu kita berusaha sehingga melanggar batasan yang telah Allah tetapkan. Pada akhirnya apa yang berlaku semuanya tetap merupakan ketentuan Allah. Bezanya, apa yang terjadi kepada mereka yang mengutamakan batasan-batasan Allah mendapat jaminan pahala dan syurga sedangkan mereka yang gagal menjemput ketetapan dengan mentaati batasan-batasan itu akan menanggung akibat kebinasaan yang akan menjadi penyesalan. Penyesalan yang tiada kesudahan.

Urusan jodoh adalah salah satu sampel nyata yang dapat melatih manusia untuk menggabungkan usaha manusiawi dan tawakkal (penyerahan diri) kepada Allah SWT. Bagaimana ia dilaksanakan? Persoalan yang sukar dijawap dengan tulisan bahkan sukar juga untuk dijawab dengan berbahasan.

Maha Suci Allah SWT yang telah memilih hambaNya sebagai wasilah kepada kebaikan. Maha Besar Allah mengurniakan imajinasi dan ketajaman pandangan seorang hambaNya sehingga karyanya mampu menterjemahkan sedikit sebanyak realiti mengenai takdir, khususnya yang berkaitan dengan jodoh.

Hamba Allah yang saya maksud itu adalah penulis yang namanya tidak asing lagi bagi masyarakat Malaysia dan Indonesia. Beliau adalah Ustaz Habiburrahman Al-Shirazy. Novelnya telah meletup berkali-kali di pasaran Indonesia dan Malaysia. Ustaz Habiburrahman dalam filemnya Ketika Cinta Bertasbih berjaya merungkai permasalahan jodoh dengan menghadirkan beberapa bentuk konflik seputar topik itu. Perceraian, poligami, khitbah (lamaran), perkahwinan yang dirancang keluarga, kebebasan memilih pasangan, persyaratan dalam pernikahan, orang tengah, wali dan sebagainya berjaya disampaikan dengan baik melalui filem ini.

Perceraian antara Anna dan suaminya Furqan adalah sebuah penyelesaian yang sangat wajar ditempuh bagi konflik yang menimpa mereka. Perceraian yang Allah SWT perbolehkan itu berjaya diungkapkan sebagai ‘rahmat’ kepada Anna. Khitbah atau lamaran. Dalam Islam ketika seseorang telah dilamar oleh seseorang, maka orang yang telah dilamar itu tidak boleh menerima lamaran orang lain sebelum urusan dan tindak lanjut dari lamaran pertama tadi diselesaikan. Hal ini jelas disampaikan ketika Azam yang sedang sakit membebaskan Vivi dari lamaran yang telah diajukannya. Kesannya, Vivi bebas untuk menikah atau dinikahkan kepada orang lain.

Ketika Cinta Bertasbih ini juga berjaya mempromosikan beberapa cara yang sihat lagi suci dalam mencari pasangan hidup atau mencarikan pasang hidup untuk orang lain. Babak Husna mencarikan jodoh untuk abangnya Azam, atau babak tetangganya memperkenalkan Vivi dan babak Azam meminta Kiai Luthfi mencarikan jodohnya adalah antara contoh yang sangat baik dan sihat yang memang perlu dibudayakan oleh masyarakat. Bahkan babak Pak (Namanya saya lupa pulak) yang menawarkan anak perempuannya kepada Azam adalah contoh yang sangat baik juga untuk dibudayakan dalam masyarakat kita.



Mengapa dicari secantik Balqis, andai diri tidak sehebat Sulaiman..
Mengapa mengharap teman setampan Yusof jika kasih tidak setulus Zulaikha..
Mengapa mengharap teman seteguh Ibrahim andai diri tidak sehebat Siti Hajar..
Mengapa didambakan teman sehidup yang sempurna Muhammad jika ada keburukan pada diri..
Bimbinglah dirinya dan terimalah kekurangan itu sebagai keunikan..
Carilah kebaikan itu pada dirinya.
Bersyukurlah kerana dipertemukan dengannya dan berdoalah dia milikmu..



Ya, Allah..
Sekiranya dia adalah jodohku..
Dekatkanlah aku dengannya..
Sekiranya dia bukan jodohku dan akan memudaratkan diri
Jauhilah diriku dari dia..




P/S : kongsi ilmu drpd sumber FB ustaz aldi mustaffa.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan